[VIDEO] PDRM dedah gambar penembak Imam Fadi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengedarkan gambar sebenar salah seorang suspek yang menembak mati pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysia Institut (UniKL BMI), Dr Fadi M R AlBatsh Fatma dalam kejadian subuh, Sabtu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media di Bukit Aman hari ini berkata, gambar sebenar itu berjaya diperoleh ekoran penemuan motosikal digunakan dua suspek berkenaan yang ditinggalkan berhampiran Tasik Danau Kota, semalam.

“Menerusi penemuan motosikal digunakan suspek yang ditinggalkan sejak Sabtu lalu di Tasik Danau Kota, iaitu selepas mereka menembak mati Fadi, PDRM berjaya mendapatkan gambar sebenar salah seorang suspek.

“Kita percaya, kedua-dua suspek masih berada di negara ini dan kita berharap agar orang ramai yang melihat serta mempunyai maklumat mengenai mereka dapat menyalurkannya kepada polis,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, menerusi maklumat diterima, dua suspek berkenaan dipercayai masuk ke negara ini sejak penghujung Januari lalu menggunakan identiti palsu.

Malah, ketika ditanya sama ada suspek adalah ejen perisikan Mossad, beliau berkata polis tidak mempunyai maklumat mengenainya namun tidak menolak kemungkinan mereka terlatih dalam bidang ketenteraan.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, dua suspek terbabit dipercayai masuk ke negara ini menggunakan identiti palsu.

“Malah, kita tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai kemahiran dalam ketenteraan,” katanya.

Menurut Mohamad Fuzi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-7134705 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat.


KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menunjuk satu daripada gambar suspek yang menembak mati Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, pagi ini. – Foto Aizuddin Saad
Sumber : bharian

ARTIKEL BERKAITAN.

Motosikal pembunuh pensyarah ditemui

LOKASI motosikal jenis Kawasaki Versys ditinggalkan suspek kes tembak imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, Sabtu lalu, ditemui di Jalan Danau Niaga, Danau Kota, berhampiran Tasik Danau Kota. – Foto NSTP

SHAH ALAM: Siasatan kes bunuh warga Palestin, Dr Fadi M R AlBatsh yang mati ditembak Sabtu lalu, menemui petunjuk baharu apabila motosikal dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemui sekitar Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan penemuan itu berkata, pihaknya bagaimanapun masih menjalankan siasatan lanjut.

“Ya, memang ada temui motosikal itu yang disyaki digunakan suspek ketika melakukan pembunuhan berkenaan.

“Namun, saya tidak boleh mendedahkan lanjut mengenainya,” katanya pada sidang media sempena Lawatan Kerja dan Taklimat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Peringkat Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Difahamkan, motosikal itu ditemui berhampiran Tasik Danau Kota oleh orang awam, kira-kira jam 1 tengah hari.

Menurut beliau, polis turut memperoleh petunjuk lain kes berkenaan berikutan ada individu tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Mohamad Fuzi bagaimanapun berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada suspek masih berada di negara ini atau sebaliknya.

“Kita tiada butiran lengkap mengenai suspek kecuali lakaran fotofit yang sudah diedarkan di semua laluan pintu masuk negara ini.

MOTOSIKAL jenis Kawasaki Versys, yang dipercayai digunakan suspek kes tembak imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, Sabtu lalu, ditemui di Jalan Danau Niaga, Danau Kota, berhampiran Tasik Danau Kota. – Foto NSTP

“Namun, kita tidak pasti kemungkinan suspek meninggalkan negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek yang melepaskan hampir 20 das tembakan berpotensi melarikan diri melalui enam lokasi.

“Suspek melarikan diri melalui Jalan Meranti, Setapak, sejurus kejadian.

“Siasatan polis mendapati laluan berpotensi dilalui saspek ialah Jalan Genting Klang, Jalan Gombak, Jalan Ibu Kota, Jalan Langkawi, kawasan Danau Kota dan Kawasan Wisma Ong Tai Kim.

“Kedua-dua suspek dilihat menaiki motosikal berkuasa tinggi model BMW GS atau Kawasaki Versys berwarna gelap, mempunyai cermin ‘windshield’ dan ada kotak simpanan barang di belakang motosikal,” katanya.

Beliau berkata, suspek memakai jaket dan topi keledar berwarna gelap selain kedua-duanya membawa beg galas ketika kejadian.

Allahyarham Dr Fadi yang juga Pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ditembak mati di kawasan pejalan kaki luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, ketika berjalan menuju ke surau untuk solat Subuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan (ASP) Shahrizal Saleh di talian 017-7134705 atau Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Wangsa Maju ASP Khairil Idzwan Ahmad di talian 019-3592582.

 

Sumber : bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *