Tun Mahathir persoal kritikan ke atasnya sebagai Pengerusi Khazanah

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada pejabatnya setelah mempengerusikan mesyuarat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir hari ini mempersoal kritikan sesetengah pihak mengenai pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Khazanah Nasional Berhad.

“Saya terlibat…sebenarnya saya adalah orang yang memulakan Khazanah dan kini mahu memacu pada landasan yang betul. Apa salahnya dengan saya (dilantik ke jawatan itu)?.
“Bukannya saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, saya tidak akan menerima gaji RM7 juta,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata pelantikan baharu itu akan membantu Khazanah memberi fokus kepada beberapa isu tertentu.

Antara lain Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata perlantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi Khazanah itu dilihat bercanggah dengan tekad Pakatan Harapan sebelum ini yang tidak mahu campur tangah politik dalam pentadbiran syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 30 Julai lalu,  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin dilantik sebagai pengarah syarikat dana pelaburan strategik negara itu.

Sebelum ini, sembilan anggota lembaga pengarah Khazanah, termasuk Pengarah Urusan Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tan Md Nor Md Yusof, meletakkan jawatan untuk membolehkan kerajaan baharu memutuskan kepimpinan baharu syarikat itu.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir mengakui langganan akhbar Utusan Malaysia dihentikan bagi institusi di bawah Kementerian Pendidikan namun tiada larangan ia dibaca oleh sesiapa sahaja.

“Langganan dihenti, tetapi kita tak larang nak baca. Nak baca, bacalah. (Namun) kenapa kita nak beli satu paper (akhbar) ¬†yang selalu hentam kita. Kita tidak perlu membelinya.

“Sekiranya orang nak membacanya dalam sekolah, di luar sekolah, mereka bebas berbuat demikian. Kita tak larang, bukan kita nak tangkap, nak koyak, nak bakar apa semua, tak dak,” katanya.

Ditanya mengapa hanya akhbar Utusan Malaysia yang terlibat, Dr Mahathir berkata “bacalah Utusan, anda tahula.”

Dilaporkan wujud satu memo yang mengarahkan sekolah, universiti, kolej dan institusi lain di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan untuk berhenti melanggan akhbar tersebut. – Bernama

Sumber: kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *