‘Sultanah Terengganu tidak terlibat’ – Penubuhan TIA

KUALA LUMPUR: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, tidak pernah pada bila-bila masa terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu berkata, kenyataan dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’ yang mengaitkan Sultanah Terengganu dalam isu berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position.”

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah juga tidak pernah pada bila-bila masa mengenali ataupun mempunyai sebarang hubungan dengan penama “Jho” yang tersebut dalam buku itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, katanya, penulis buku berkenaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk membetulkan fakta ini dan mengemukakan permohonan maaf kepada Sultanah Terengganu di atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ yang menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, dilancarkan pada 8 September lalu.

Untuk rekod, 1MDB bermula sebagai TIA, iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada Terengganu untuk jangka panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009. – BERNAMA

Artikel berkenaan..

KWSP perlu saman Sarawak Report

MOHD RAZLAN MUHAMMAD RAFII

KUALA LUMPUR 3 Mac – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihatkan supaya mengambil tindakan undang-undang terhad portal berita propembangkang, Sarawak Report di London, United Kingdom kerana dipercayai menyebarkan berita berunsur fitnah mengenai organisasi itu.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi pernah mengambil langkah serupa berikutan tindakan Sarawak Report menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung parti itu menerima sumbangan sebanyak RM90 juta dari UMNO.

Katanya, apabila kes tersebut dihadapkan ke mahkamah, terbukti Sarawak Report tidak mempunyai bukti untuk menyokong tuduhan yang dilakukan mereka.

“Dalam isu KWSP, saya yakin perkara yang sama akan berlaku.  Jika KWSP memfailkan saman, Sarawak Report akan terpaksa memberi mahkamah segala bukti yang mereka ada untuk membela diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *