Setelah Tular Petronas Menegur Syed Saddiq, Ini Respon Yang Diberi

“TERIMA kasih singgah stesen Petronas, tapi jangan guna telefon berdekatan pam minyak.”

Itu teguran syarikat pengeluar minyak nasional Petronas kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pasukannya yang bergambar di sebuah stesen jenama itu hari ini.

Dalam satu foto yang dikongsikan akaun Twitter @teamsaddiq, kelihatan Menteri Belia dan Sukan itu sedang mengisi minyak kereta di salah sebuah stesen Petronas dalam perjalanannya ke Cameron Highlands.

Menerusi foto yang dikongsikan itu, kelihatan Ahli Parlimen Muar itu sedang berdiri mengisi minyak kereta miliknya dengan coretan, “menteri memandu sendiri boleh ‘claim’ minyak tak? Menuju ke Cameron Highlands sebagai Ketua Pemuda Harapan tanpa jentera kerajaan.”

Susulan tindakan itu, Petronas Brands membalas tweet itu dengan kiriman nasihat.

Memetik laporan Sinar Harian, teguran Petronas Brands itu mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan teguran berkenaan dan menyifatkannya sebagai mengundang bahaya.

Malah, ada segelintir netizen yang turut memuat naik gambar papan tanda larangan penggunaan telefon sebagai respons terhadap teguran Petronas Brands itu.

“Terima kasih singgah stesen Petronas. Walau bagaimanapun, keselamatan tetap diutamakan.

“Jangan guna telefon berdekatan pam minyak ya. Terima kasih juga kepada semua yang sangat prihatin,” tulis pengendali Twitter Petronas tersebut.

Setelah foto dan nasihat itu tular, @teamsaddiq membalas tweet nasihat daripada syarikat pengeluar minyak nasional itu dengan memaklumkan gambar tersebut dirakam menggunakan kamera bukannya telefon bimbit seperti dianggap.

“Minta maaf admin (Petronas Brands). Kami ambil gambar guna kamera hihi,” balasnya.

Terdahulu,

Ini Teguran Pedas Petronas Kepada Syed Saddiq Setelah Gambar Dia Isi Minyak Tular

FOTO Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikongsi menerusi akaun Twitter pasukan komunikasi @teamsaddiq pada Ahad mengundang pelbagai komen netizen.

Menerusi foto itu, Syed Saddiq bersandar di sisi sebuah kereta sambil mengisi minyak ketika dalam perjalanan ke Cameron Highlands.

Foto itu pantas menarik perhatian ramai memandangkan perbuatan menggunakan telefon bimbit berdekatan pam minyak adalah berbahaya dan dilarang sama sekali.

Pada Isnin, laman Twitter rasmi Petronas, @Petronasbrands turut berkongsi semula posting berkenaan.

“Terima kasih singgah stesen PETRONAS!

“Walau bagaimanapun, keselamatan tetap diutamakan. Jangan guna telefon berdekatan pam minyak ya.

“Terima kasih juga kepada semua yang sangat prihatin,” tulis pengendali akaun itu.

Paparan skrin Tweet Petronas pada Isnin.

Rata-rata netizen turut meninggalkan komen mengenai risiko penggunaan telefon bimbit di stesen minyak.

“Mana boleh main telefon kat pam minyak, meletup nanti,” tulis seorang netizen.

Segelintir individu turut memuat naik foto papan tanda larangan penggunaan telefon menerusi ruangan balas Tweet berkenaan.

Untuk rekod, seorang wanita melecur 60 peratus di bahagian badan akibat disambar api berikutan tindakannya mengisi minyak dan cuba menjawab telefon bimbitnya

Menerusi laporan mStar Online pada 1 Julai 2016, wanita itu dipercayai membuka pintu belakang sebelah kiri keretanya untuk mengambil telefon bimbitnya yang sedang berdering, sambil tangannya memegang muncung minyak petrol.

Antara komen netizen di ruangan balas Tweet tersebut

Dalam laporan sama, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Telekomunikasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Kamaludin Mohamad Yusof berkata insiden itu mungkin berpunca daripada gelombang Electro Magnetic Field (EMF) yang dihasilkan melalui hubungan dibuat melalui ‘signal’ telefon bimbit mangsa dan sistem pemancar atau pencawang telekomunikasi.

“EMF ini akan mencetuskan kebakaran kerana ia agak sensitif dengan minyak ketika mangsa menggunakan telefon bimbitnya semasa mengisi minyak,” katanya.

Sumber Artikel : MSTAR ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *