Samun kedai dobi: Suami isteri ditahan

SUAMI isteri yang terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, Selasa lalu, direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. – Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Suami isteri yang terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, Selasa lalu, direman enam hari mulai hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, Nurul Rasyidah Mohd Akit dan kedua-dua suspek diwakili peguam, Shanmugam Ganesan.

Terdahulu suspek yang kudung kaki kanan, berusia berusia 21 tahun dan berasal dari Nibong Tebal, tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi berpakaian lokap sebelum isterinya berusia 30-an tiba pada jam 10 pagi.

Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata.

NSTP semalam melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun di kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Selain itu, polis juga sudah mengenal pasti suspek kedua yang terbabit dalam kejadian samun itu dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek terbabit dikenali sebagai Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, diminta tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu masih berada di kawasan Sungai Petani dan polis akan mengesan sebelum menahannya jika dia enggan menyerah diri.

“Kita juga percaya barangan samun itu berada bersamanya dan dia diminta tampil menyerah diri sebelum pihak polis sendiri memburu dan menahannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber : beritaharian

Artikel Berkenaan..

[VIDEO] Samun di kedai dobi layan diri, wanita rugi RM14,500

ALOR SETAR 12 Sept. – Hanya dalam tempoh 15 minit sahaja, dua lelaki bersenjatakan parang berjaya melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggar berjumlah RM14,500 di dua lokasi berbeza di Sungai Petani semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, dua suspek tersebut terlebih dahulu melakukan samun bersenjata terhadap seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan pelanggan di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai petani pada kira-kira pukul 7 pagi.

“Suspek pertama mendekati mangsa dengan bertanyakan tentang pakaian yang dibasuh telah hilang sebelum secara tiba-tiba cuba merampas beg tangan wanita tersebut. Mangsa sempat menarik beg tangannya namun suspek itu kemudian terus mengacukan parang sambil meminta wanita itu menyerahkan barang berharga.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek telah meluru masuk dan merampas sautas rantai, gelang dan dua bentuk cincin emas sebelum kedua-duanya melarikan diri. Selain barang kemas, mangsa juga kehilangan beberapa barang lain antaranya sebuah telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank dan kad kredit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sazalee, kedua-dua suspek kemudian menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Taman Ria, Sungai Petani kira-kira 15 minit kemudian yang membabitkan kerugian sebanyak RM4,500.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, seorang lelaki masuk ke dalam kedai untuk membeli kad prabayar ketika mangsa mahu mengambilnya, seorang suspek masuk ke dalam kawasan kaunter pembayaran sebelum mengacukan parang ke lehernya.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka laci duit sebelum mengambil semua wang dan beg yang berada di dalamnya. Mangsa bagaimanapun sempat menekan butang siren di bawah laci kaunter yang mana menyebabkan suspek terkejut dan terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback warna kelabu,” ujarnya.

Katanya, hasil siasatan kedua-dua suspek merupakan lelaki yang sama melakukan samun di kedai dobi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

video :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *