Sahrir pertahan wang tunai dalam kondo, dakwa untuk PRU Sahaja. Jangan Buat Andaian

Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad berkata wang tunai yang disimpan dalam beberapa unit kondominium Pavilion Residences yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah bagi membiayai parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Dalam sidang akhbar hari ini, Shahrir berkata wang tunai berkenaan tidak disimpan di dalam bank atau dipindahkan menerusi cek kerana berdepan masalah logistik.

“Orang tanya kenapa mesti wang tunai? Ini kerana tidak semua kawasan (Umno) mempunyai (akaun) bank,” katanya.

Beliau berkata penyimpanan wang tunai adalah penting bagi menggerakkan jentera pilihan raya Umno.

“(Ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan) melalui bank. Jika kamu memerlukan dana tambahan untuk pilihan raya, kamu beri cek, ia akan terlambat.

“Mereka yang mengkritik kadang-kala melakukan perkara yang sama juga,” katanya tanpa menyebut sebarang nama.

Baki dana pilihan raya

Bekas anggota parlimen Johor Bahru itu mendakwa wang tunai yang dirampas polis dari kondominium berkenaan adalah baki dana untuk parti itu pada pilihan raya lalu.

Apabila ditanya sama ada jumlah wang tunai yang besar adalah perkara biasa, Shahrir berkata, “Saya tidak tahu, saya tidak pernah berada dalam kedudukan itu.”

“Itulah yang sebahagian mereka (dalam Umno) katakan. Itulah yang dikatakan oleh Najib, bagaimana kamu dapat buktikan sebaliknya?”

Najib yang meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN pada 12 Mei, kini sedang disiasat oleh polis di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 berkaitan 1MDB.

Pada 18 Mei, polis merampas 72 beg daripada tiga unit di Pavilion Residences di mana 35 daripadanya mengandungi wang tunai dalam 26 mata wang berbeza berjumlah RM114 juta.

Umno kemudian meminta polis mengembalikan wang yang dirampas dan mendakwa ia merupakan dana parti itu untuk PRU pada 9 Mei.

Sumber: malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *