VIDEO TULAR Ramai tumpang berdebar apabila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja lupa nama Raja Perlis

UPACARA melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlangsung dengan penuh adat istiadat.

Rakyat Malaysia yang menonton siaran langsung upacara berkenaan pastinya mengagumi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengendalikan mesyuarat tanpa sebarang nota bacaan sebagai rujukan.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun berlaku sedikit kecacatan apabila Syed Danial terlupa nama penuh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika menyebut nama saksi-saksi selain Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Berdasarkan rakaman, Sultan Selangor dilihat cuba membantu Syed Danial memperbetulkan sebutannya.

Namun Syed Danial meneruskan upacara tanpa menyebut nama penuh Tuanku Syed Sirajuddin, sebaliknya beliau hanya menggunakan “Raja Perlis” sebagai mewakili Baginda.

Susulan itu, beberapa pengguna media sosial berkongsi rasa gementar mereka mengenai kesilapan yang dilakukan Syed Danial.

Namun rata-rata memberi komen positif apabila Syed Danial memohon maaf secara terbuka selepas Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar selesai membacakan doa.

“Patik hamba Allah dengan harapan yang paling tinggi memohon agar patik tidak dimurkai kerana teralpa menyebut nama penuh Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebagai Raja Perlis.

“Patik mohon ampun dan dirgahayu Majlis Raja-Raja tuaku,” katanya.

VIDEO:

Sumber: Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *