Pujuk PAS sertai pakatan pembangkang punca Muhyiddin dipinggirkan. Apa Sudah jadi ??

KUALA LUMPUR: Resolusi pakatan pembangkang yang tidak menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri jelas menunjukkan parti berkenaan cuba meminggirkannya.

Penganalisis politik di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata ini kerana kecenderungan Muhyiddin menjalin kerjasama dengan PAS yang ditolak keras Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, Muhyiddin adalah calon sangat berpengalaman dan sewajarnya beliau diangkat sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Penyisihan ini mungkin ada kaitan dengan usahanya terdahulu memujuk PAS menyertai kembali pakatan pembangkang.

“Muhyiddin juga terkenal dengan imej Melayu dan Islam yang kuat dan imej ini mungkin tidak sesuai dengan gagasan serta kepemimpinan pakatan pembangkang yang ingin mereka tawarkan ketika ini,” katanya mengulas mengenai keciciran nama Muhyiddin dalam senarai kepemimpinan pakatan pembangkang seperti diputuskan pada konvensyen pembangkang Ahad lalu.

Konvensyen itu bersetuju melantik Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang memenangi PRU-14.

Sementara itu, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata keciciran nama Muhyiddin dalam senarai kepimpinan tertinggi pembangkang itu menjadi satu tamparan hebat kepada beliau dan penyokongnya, khususnya dari Johor, kerana beliau sekarang adalah Presiden PPBM dan sebelum ini adalah Timbalan Perdana Menteri.

“Jika mahu dibandingkan dengan Dr Wan Azizah yang dinobatkan bakal Timbalan Perdana Menteri, sudah tentu Muhyiddin lebih berkelayakan dan berkemampuan, tambahan pula pengalaman luas beliau sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas menteri dan bekas Menteri Besar.

“Bagaimanapun, pembangkang nampaknya lebih selesa dengan penggunaan retorik berbanding realiti, walaupun Dr Wan Azizah tidak berkelayakan dan berkemampuan, beliau tetap diletakkan kerana kononnya dapat menonjolkan imej pakatan pembangkang mesra wanita,” katanya.

Beliau berkata, keciciran nama Muhyiddin kerana pakatan itu terutama PKR masih ragu-ragu dengan kemampuan mereka merealisasikan cadangan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir.

Sumber: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *