PM setuju, kamu sibuk sebab apa – Anwar Ibrahim

KETUA Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam tadi. – Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang mempertikaikan keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ketua Umum PKR itu menegaskan, keputusan untuk bertanding dalam PRK dicapai hasil perbincangannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta kepemimpinan dalam Pakatan Harapan (PH), selain dalam PKR sendiri.

“Saya (sudah maklum) dan PM (Perdana Menteri) setuju, sekarang ini (kami) kawan baik. Sebab kami saling maaf kerana untuk majukan negara, kita fikir soal rakyat. Nak marah lama-lama sebab apa? Aku dengan Mahathir dah baik.

“Baik sebab apa, rakyat! Sebab nak selamatkan negara, nak selamatkan (negara) daripada perompak,” katanya ketika berucap pada Majlis Agenda Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Majlis disertai seramai kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli PKR negeri itu turut dihadiri Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata keputusannya untuk kembali ke Parlimen dipersetujui Mahathir, sebelum pengumuman dibuat oleh kepemimpinan parti.

Beliau berkata, keputusannya untuk bertanding dalam PRK itu juga adalah untuk memperkukuhkan serta melakukan transformasi dalam Parlimen yang turut dipersetujui Mahathir.

“Dia kata OK. Yang kamu (pengkritik) sibuk sebab apa? Tak jadi masalah. Nak bangkitkan apa lagi?,” katanya.

Akhbar melaporkan Anwar mengesahkan bertanding di Parlimen Port Dickson dalam usaha PH mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang akan mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK pada sidang media khas di Ibu Pejabat PKR di sini, kelmarin.

Sumber : Beritaharian

Artikel berkaitan :

Tok Mat bukan pencabar Anwar – Aminuddin

SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bukan calon sesuai untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu jelas membuktikan penduduk di kawasan berkenaan tidak menyokong bekas Menteri Besar itu.

“Saya orang PD (Port Dickson) dan saya juga orang UMNO suatu ketika dahulu. Jadi saya tahu sejarah Tok Mat (Mohamad) di kawasan itu. Saya minta beliau (Mohamad) fikirkan.

“Saya yakin UMNO sukar untuk bertanding di Port Dickson walau siapa pun (calon). Kalau Tok Mat diletakkan di situ, kita tahu bagaimana penduduk Port Dickson khususnya orang UMNO menerima beliau. Tambah pula suasana UMNO sekarang ini, rakyat sukar terima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2017 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) boleh memenangi PRK Port Dickson berdasarkan sokongan ahli dan penduduk terhadap Ketua Umum PKR itu.

Katanya, satu mesyuarat bersama ahli PH akan diadakan di kediaman rasmi beliau malam ini bagi berbincang dan mengatur strategi serta menggerakkan jentera menghadapi PRK.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya PRK diadakan selepas pemilihan parti hujung bulan ini, Aminuddin berpendapat pilihan raya perlu diadakan segera dan tidak perlu menunggu pemilihan parti.

“Dalam politik kita tidak perlu mengambil masa yang lama dan harus meneruskan strategi untuk menang. Sebagai ahli parti, kita tidak seharusnya menunggu sesuatu perkara itu (pemilihan) selesai untuk laksanakan perkara lain (pilihan raya),” katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 520 kakitangan pentadbiran kerajaan negeri menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Sumber : BeritaHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *