Penumpang Jangan Panik, Ini Jawapan Kepada Persoalan Anda Selepas Uber Sertai Grab!

PETALING JAYA: Khabar angin mengenai Uber menjual operasinya di Asia Tenggara kepada Grab yang bertiup kencang sejak kebelakangan ini bukan lagi rahsia apabila Grab mengumumkan perolehan itu pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Uber Jual Operasi Di Asia Tenggara Kepada Grab

Ketika ini pasti ramai pengguna, termasuk pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ Uber di Malaysia cemas, panik malah tertanya-tanya mengenai nasib yang bakal dihadapi mereka menerusi penggabungan ini.

Buat pengguna Uber, meskipun Uber menyertai Grab pada Isnin, anda tidak perlu panik kerana kedua-dua aplikasi perkhidmatan itu masih berfungsi seperti biasa.

Bagaimanapun untuk peralihan yang selancar mungkin, Grab di laman webnya memaklumkan perkhidmatan Uber boleh digunakan di Asia Tenggara selama dua minggu sehingga 8 April, sementara pemandu Uber dipindahkan ke platform Grab.

Penumpang Uber boleh memuat turun dan menggunakan aplikasi Grab pada bila-bila masa untuk menempah perjalanan di Asia Tenggara.

Aplikasi mudah alih Uber dan Grab. Foto AFP

Namun jangan bimbang kerana tiada perubahan pada tambang selepas penggabungan ini kerana perjalanan ini menggunakan harga tambang dinamik.

Seperti GrabCar dan JustGrab, tambang akan dikira seperti biasa iaitu berdasarkan jarak asas, dengan surcaj dinamik yang dikenakan berdasarkan faktor-faktor termasuk permintaan dan penawaran pada waktu itu, keadaan lalu lintas dan anggaran masa yang diambil untuk perjalanan tersebut.

Sementara itu, Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, penggabungan itu diharapkan dapat memacu pengalaman yang lebih baik untuk para penumpang dan pemandu.

Dengan tumpuan tugas dan jumlah pemandu yang lebih besar, katanya, ia dijangka dapat melihat waktu menunggu lebih pendek dan tempoh mengambil lebih pantas.

“Ini bermakna produktiviti yang lebih baik untuk para pemandu dan akan meningkatkan lagi kepercayaan para penumpang terhadap kami,” kata Sean dalam satu kenyataan di laman web Grab pada Isnin.

Sean Goh.

Terdahulu, Grab mengumumkan pengembangannya di Asia Tenggara dengan mengambil alih operasi dan aset Uber di Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sebahagian daripada pemerolehan itu, Uber akan mengambil 27.5 peratus kepentingan dalam Grab dan Ketua Pegawai Eksekutif Uber, Dara Khosrowshahi akan menyertai lembaga Grab.

Sean berkata, pengguna Uber nanti boleh mendapat manfaat daripada GrabRewards di mana mereka boleh menikmati lebih nilai dengan setiap perjalanan.

“Bagi pemandu Uber pula, menerusi program ‘Better 365’ dan ‘GrabAllStars’ membolehkan mereka menikmati faedah, sokongan dan peluang yang lebih baik untuk memudahkan tugasan mereka,” katanya mengenai Grab mula bertapak di Malaysia sejak hampir enam tahun lalu.

Menurut Sean, Grab akan terus memacu pertumbuhan yang seterusnya, dengan memberi khidmat kepada rakyat Malaysia dalam semua keperluan harian, sama ada sebagai pengguna atau sumber pendapatan.

Aplikasi Grab di telefon bimbit. Foto AFP

Sehingga kini, katanya, Grab telah berkhidmat kepada lebih 90 juta pengguna di Asia Tenggara dan memperkasa lebih lima juta usahawan mikro dalam kalangan pemandu, peniaga dan ejen untuk menjana lebih banyak pendapatan.

“Kini, kami juga akan mengembangkan platform GrabFood dengan pesat untuk menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk penghantaran kurier dan makanan, dan memberi khidmat kepada komuniti dengan lebih banyak cara lagi.

“Terima kasih kerana memberikan sokongan dan kepercayaan yang berterusan kepada kami. Terima kasih juga kerana mendorong kami untuk melakukan yang lebih baik dan membolehkan kami terus berkhidmat untuk anda,” kata Sean sambil memberi jaminan lebih banyak tawaran menarik akan diperkenalkan pada masa akan datang.

Di bawah ini merupakan soalan dan jawapan sebagai rujukan buat penumpang Uber:

Soalan: Apakah kesan gabungan ini kepada penumpang?

Jawapan: Tiada perubahan akan berlaku buat masa ini dan aplikasi anda akan berfungsi seperti biasa. Dengan gabungan platform Uber dan Grab, anda boleh menjangka untuk mendapat perkhidmatan yang lebih baik dengan lebih ramai pemandu dan pilihan kenderaan dalam satu aplikasi.

Soalan: Adakah saya masih boleh menggunakan aplikasi Uber?

Jawapan: Perkhidmatan Uber boleh digunakan di Asia Tenggara selama dua minggu sahaja sehingga 8 April sementara kami memindah pemandu Uber ke platform Grab. Penumpang Uber boleh muat turun dan menggunakan aplikasi Grab pada bila-bila masa untuk menempah perjalanan anda di Asia Tenggara.

Soalan: Bagaimana untuk saya mula menggunakan aplikasi Grab?

Jawapan: Muat turun aplikasi Grab dari Google Play ataupun App Store, daftar akaun anda dengan kami dan anda sudah bersedia untuk menggunakan perkhidmatan Grab. Untuk penumpang baru di Grab, selamat datang! Panduan tentang cara-cara menggunakan aplikasi Grab, untuk menempah perjalanan dan menggunakan GrabPay atau GrabRewards dan lain-lain, ada terdapat di dalam aplikasi.

Soalan: Apakah perbezaan di antara aplikasi Grab dan Uber?

Jawapan: Paling penting sekali adalah kedua-dua aplikasi mempunyai fungsi yang sama – untuk anda tempah perjalanan dengan memilih jenis kenderaan yang diingini, sama ada kereta mahupun teksi. Grab memberi lebih lagi manfaat, dimana dengan GrabRewards anda boleh menikmati lebih nilai dengan setiap perjalanan. Naik, kumpul poin dan tebus serta-merta untuk ganjaran seperti baucar untuk kopi, tiket wayang dan banyak lagi. Anda juga boleh tebus poin GrabRewards dan dapatkan diskaun untuk perjalanan seterusnya.

Grab juga ada fungsi GrabPay iaitu cara untuk membayar untuk perjalanan tanpa tunai, menggunakan kad kredit atau debit.

Soalan: Adakah akan ada perubahan pada tambang?

Jawapan: Tidak. Untuk perjalanan yang menggunakan harga tambang dinamik, seperti GrabCar dan JustGrab, tambang akan dikira seperti biasa iaitu berdasarkan jarak asas, dengan surcaj dinamik yang dikenakan berdasarkan faktor-faktor termasuk permintaan dan penawaran pada waktu itu, keadaan lalu lintas dan anggaran masa yang diambil untuk perjalanan tersebut. Ini adalah pengiraan yang adil bagi pemandu yang mengemudi pelbagai keadaan jalan raya sepanjang hari. Ini juga bermakna tambang akan lebih rendah pada waktu permintaan yang rendah – dan begitu juga sebaliknya. Ini membantu memadankan pemandu kepada penumpang dengan efisyen.

Penumpang yang memilih GrabTaxi (Metered) dan GrabTaxi (Executive) akan dikenakan tambang bermeter yang ditetapkan oleh syarikat teksi tersebut.

Grab sentiasa mengutamakan keperluan pemandu dan penumpang, dan kami teguh dalam misi kami untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan pengangkutan yang selamat dan berpatutan untuk lapisan masyarakat di Asia Tenggara. Penumpang harus sentiasa diberi pilihan yang paling sesuai untuk mereka, sama ada dari segi kelajuan, harga ataupun keselesaan.

Soalan: Adakah saya akan dapat menempah perjalanan saya dengan lebih cepat?

Jawapan: Kami sedang berkerja keras untuk memindahkan pemandu Uber ke platform Grab. Kami menghargai kesabaran anda sepanjang tempoh peralihan ini sekiranya terdapat sebarang gangguan perkhidmatan. Dalam minggu-minggu akan datang, anda akan dapat menikmati pengalaman tempahan yang lebih cepat, kerana pada masa yang sama kami akan mendaftar lebih ramai lagi pemandu ke platform Grab.

Soalan: Apa akan terjadi kepada maklumat akaun saya di dalam aplikasi Uber?

Jawapan: Anda masih boleh semak sejarah perjalanan dan penilaian di dalam aplikasi Uber. Akaun Uber anda akan kekal aktif dan boleh digunakan di negara yang terletak di luar Asia Tenggara di mana Uber beroperasi. Data dan maklumat yang anda pernah memberi kepada Uber (selain maklumat pembayaran) akan dipindahkan ke Grab, namun maklumat itu tidak akan dipaparkan di aplikasi Grab. Jika anda tidak pernah menggunakan Grab, anda perlu mendaftar akaun untuk mula menempah perjalanan.

Soalan: Saya adalah pelanggan UberEats. Apakah kesan kepada saya?

Jawapan: Sila layari grab.com/my/comingtogether-food untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Soalan: Saya adalah pelanggan Uber for Business. Apakah kesan gabungan ini kepada saya?

Jawapan: Perkhidmatan Uber for Business untuk pekerja syarikat tempatan atau antarabangsa tidak boleh digunakan bagi perjalanan dalam Asia Tenggara selepas peralihan berlaku. Perkhidmatan Uber for Business untuk perjalanan di luar Asia Tenggara akan berjalan seperti biasa menerusi perjanjian Uber for Business yang sedia ada.

Jika anda atau majikan anda berminat untuk membuka akaun perniagaan

sila layari Grabforbusiness.com atau e-mel ke gfb.my@grab.com.

 

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *