Najib hadapi 3 tuduhan ,Ini Jumlah Ikat Jamin Dikenakan Keatas Najib

LANGSUNG | Kurang dari dua bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei, sejarah dicatat lagi apabila bekas perdana menteri Malaysia dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan jenayah.

Pentadbiran Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB apabila bekas presiden Umno itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Semua mata kini tertumpu ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di mana Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Kes Najib disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamaruddin dan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.

Pendakwaan diketuai oleh peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas, manakala Najib diwakili pasukan peguam bela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ikuti laporan langsung dan terkini pasukan wartawan Malaysiakini:

11.55 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi, Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin.Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya.Shafee Abdullah berkata anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.

“Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi,” peguam itu memberitahu mahkamah.

11.10am: Mahkamah Tinggi – Seorang pegawai polis memarahi mereka yang menunggu di luar bilik mahkamah kerana membuat bunyi bising.

“Jika kamu nak bercakap, bercakap di bawah,” katanya.

Najib mengaku tidak bersalah

10.50 pagi: Mahkamah Tinggi –  Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah ikat jamin yang diminta pendakwa raya dengan menyatakan jumlahnya terlalu tinggi.

“Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu meminta dari saudara-saudara mereka untuk mendapatkan wang.

“Mereka mempunyai sejumlah wang tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta.”

Shafee sebaliknya meminta ikat jamin ditetapkan pada RM500,000 hingga RM800,000, dengan dua penjamin bagi semua empat pertuduhan dan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya.Malah, beliau menyatakan anak guamnnya bersedia menyerahkan geran rumah kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada jaminan, memandangkan semua akaun banknya telah dibekukan.

10.45 pagi: Mahkamah Tinggi – Najib mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.Timbalan Pendakwa Raya, Tommy Thomas memohon ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

10.35 pagi: Mahkamah Tinggi – Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.Bekas perdana menteri merekodkan pengakuan di hadapan hakim Sophian Abdul Razak.Peguam Negara Tommy Thomas (gambar) yang mengetuai pasukan pendakwa raya, meminta supaya pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada tertuduh sebelum pengakuannya direkodkan.

Najib berdepan hukuman penjara

10.30 pagi:  Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Najib bakal menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan.

Sekiranya disabitkan dengan tuduhan pecah amanah, Najib boleh dipenjarakan antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan dikenakan denda. Bagaimanapun hukuman sebat hanya dijatuhkan kepada individu di bawah umur 50 tahun dan oleh itu Najib, 64 terlepas hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

10 pagi: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta – Timbul kekeliruan apabila tidak jelas di mana Najib dibawa.Sebelum itu ditetapkan bahawa Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1, yang berada di tingkat keempat.Bagaimanapun, beliau sekarang dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3, yang berada di tingkat lima.

Kes dibawa ke Mahkamah Tinggi

9.20 pagi: Mahkamah Sesyen – Peguam Negara Tommy Thomas berhasrat memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.Beliau meminta agar rayuan tertuduh, Datuk Seri Najib Razak, tidak direkodkan.

Ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah dengan menyatakan rayuan perlu direkodkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.Najib didakwa di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudian memutuskan pengakuan Najib dicatatkan di Mahkamah Tinggi.Tommy kemudian menyerahkan sijil pemindahan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Shafee berkata beliau tidak mempunyai bantahan tetapi akan membangkitkan perkara itu di Mahkamah Tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Pertuduhan dibacakan

9.13 pagi: Mahkamah Sesyen – Pertuduhan keempat dibacakan. Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pertuduhan keempat – Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

9.09 pagi: Mahkamah Sesyen – Tertuduh, Najib Razak menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.

Pertuduhan pertama – Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Pertuduhan kedua –  Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga – Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

9.05 pagi– Ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan sewajarnya.Beliau turut mahukan mahkamah menjalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus.

“Jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum, jangan kita aibkan dia sebelum dia dikenakan apa-apa hukuman.

“Masalahnya hari ini beliau diadili di mahkamah media bukan di kamar mahkamah sebenar,” katanya kepada pemberita di lobi Kompelks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.Asyraf juga berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan perkara itu.

Pasukan peguam, pendakwa tiba

8.55 pagi: Mahkamah Sesyen – Shafee tiba bersama pasukan pembelaan termasuk Harvinderjeet Singh, Farhan Read, dan Farhan Shafee.

8.42 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas tiba bersama pasukan pendakwa raya termasuk Manoj Kurup, Mohd Hanafiah Zakaria dan Mohd Ishak YusofAnak-anak Najib, Najwa dan suaminya Daniyar serta Ashman juga masuk ke bilik mahkamah.

Berikut senarai pegawai pendakwa yang diketuai peguam negara:

  • Tommy Thomas
  • Mohamad Hanafiah Zakaria
  • Manoj Kurup
  • Suhaimi Ibrahim
  • Umar Saifuddin Jaafar
  • Ishak Mohd Yusoff
  • Donald Joseph Franklin
  • Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi
  • Budiman Lutfi Mohammed
  • Sulaiman Kho Kheng Fuei
  • Mohd Ashrof Adrin Kamarul
  • Muhammad Izzat Fauziah

Sementara itu, anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dilihat berada di luar mahkamah.

“Perjuangan belum selesai, lihat Anwar Ibrahim.

“Dia masuk dan keluar dari penjara tetapi perjuangannya berterusan,” kata bekas timbalan menteri itu kepada pemberita.

8.30 pagi: Bekas perdana menteri diiringi ke bilik saksi. Isterinya, Rosmah Mansor juga dijangka hadir.Seperti dijangka, kawalan keselamatan ketat di dalam mahkamah. Wartawan hanya dibenarkan menduduki dua bangku terakhir.Salah seorang anak Najib dari perkahwinan pertamanya, yang dipercayai Nazifuddin, juga dilihat  berada dalam mahkamah.

Sumber: MKini

Via Ohgebang