Saya salam, peluk dan cium pipi mak. Rasa lain, sejuk – Anak sebak kenang nasi lemak terakhir ibu

SEBUTLAH mana-mana chef terkenal atau restoran lima bintang, sesedap mana pun hidangan mereka, akhirnya masakan ibu juga menjadi idaman kalbu.

Air tangan ibu yang mengandungkan kita selama sembilan bulan memang tiada tandingan, malah sukar dicari ganti lebih-lebih lagi selepas insan tersayang itu pergi meninggalkan kita.

Begitulah luahan menyayat hati seorang anak di halaman Facebooknya, yang begitu merindui nasi lemak masakan arw4h ibunya.

“Pagi terakhir sebelum mak pergi menemui Penciptanya, mak dah masak nasi lemak dengan sambal telur. Dalam pukul 11 pagi dapat panggilan yang mak dah tak ada.

“Masa buka ikatan kain kafan tu aku nampak yang dalam bungkusan tu adalah mak aku. Aku tak dapat nak tahan air mata yang tersangatlah sedih. Lepas tu sembahyangkan kat surau dan dikebumikan. Selesai semua sebelum Maghrib.

“(Balik) kat rumah mak rasa lapar pula, buka tudung saji ada nasi lemak dengan sambal telur. Aku tahu ni masakan terakhir mak. Aku cedok dan bahagi seorang sikit adik-beradik.

“Suapan pertama tu… ya Allah, aku rasa lain sangat masakan tu. Aku makan sambil menangis. Tapi aku habiskan juga nasi lemak sebab tu masakan terakhir mak dan aku tak kan dapat rasanya lagi,” katanya menerusi posting yang mula tular sejak Ahad.

Perkongsian Abdul Rahman di Facebook yang merindui arwah ibunya.

Pemuda berkenaan, Abdul Rahman Bedu memberitahu, luahan tersebut adalah mengenai ibunya, Allahyarham Sariah Fatah yang meninggal dunia pada 28 Disember 2017.

Dia yang berusia 28 tahun berkata, ibunya dijemput Ilahi semasa mencari rezeki sebagai nelayan di pantai Kampung Parit Jabar di Senggarang, Batu Pahat, Johor.

“Mak memang gemar masak nasi lemak untuk kami sekeluarga. Dan luahan saya tu sebab terlalu merindui nasi lemak arw4h yang juga masakan terakhirnya.

“Asalnya nasi lemak tu ada dalam periuk lagi dan saya ambil bahagikan seorang sedikit, dapatlah empat pinggan sekali dengan sambal telur. Masakan mak yang paling sedap,” kata anak ketiga daripada lapan beradik itu ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

(Kiri) Abdul Rahman Bedu. (Kanan) Kenangan bersama ibu. 

Abdul Rahman yang bertugas sebagai operator di sebuah kilang di Balakong, Selangor, mendedahkan bahawa ibunya pergi 11 hari selepas majlis pertunangannya dan tidak menyangka ia adalah pertemuan terakhir bersama ibu.

“Pada majlis tunang di Cheras, Selangor, mak hadir untuk menyarungkan cincin buat tunang saya. Mak menangis dan saya tanya mak kenapa. Dia tak cakap apa-apa.

“Sebelum mak balik ke Batu Pahat… saya salam, peluk dan cium pipi mak. Saya rasa lain sangat, sejuk pipi mak. Itulah kali terakhir saya jumpa arwah sebelum dia pergi,” katanya yang menyifatkan ibunya seorang yang ceria dan rajin bekerja.

Ibu Abdul Rahman (kanan) pada majlis pertunangannya pada Disember 2017, 11 hari sebelum dijemput Ilahi.

Baru berumah tangga pada 16 September tahun lalu, dia berasa terkilan kerana tidak sempat berkongsi kegembiraan dengan ibunya pada majlis perkahwinan.

“Mak tiada di hari pernikahan saya. Rasa sedih sangat, memang rasa kehilangan ketika itu. Sebaik saya sah bergelar suami, air mata terus mengalir tanda gembira.

“Pada masa sama, tangisan tu teringatkan pada mak yang telah pergi. Mak… saya sayangkan mak, rindu sangat,” katanya sebak namun reda dengan ketentuan Tuhan.

Sumber Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *