Khairy: Kesilapan terbesar ialah tak bercakap benar kepada Najib

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin benar-benar menyesal tidak memberitahu perkara sebenar kepada bekas presiden Datuk Seri Najib Razak, tentang akar umbi menolak Umno selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal disingkir kerana bercakap tentang 1MDB.

Bekas menteri belia dan sukan itu, salah seorang daripada hanya 54 Ahli Parlimen Umno yang bertahan pada pilihan raya lalu berkata, dia akan menanggung kesilapan itu sepanjang hidupnya.

“Apakah ada tanda-tanda penolakan? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kami tak sedar,” kata Khairy lapor Channel News Asia.

 

 

“Kesilapan ini tidak boleh berlaku lagi. Kita tidak boleh biarkan pemimpin Umno terkeluar dari dunia nyata dan tidak bertanyakan soalan sukar. Jika kita masih dengan pemikiran feudal ini untuk melindungi pemimpin dari kebenaran, Umno akan pupus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka bagi mengelakkan kekalahan teruk 9 Mei lepas, yang menyaksikan Umno dan Barisan Nasional kehilangan kerajaan persekutuan, yang pertama kali berlaku dalam 6 dekad lalu sejak negara mencapai kemerdekaan.

Khairy menjelaskan ketika itu tiada seorang pemimpin pun yang mahu mengakui Umno ada masalah.

“Kami tidak mahu pikul tanggungjawab itu. Tiada seorang pun, selepas Muhyiddin disingkir, selepas Shafie disingkir…tiada seorang pun yang mahu akui kita ada masalah. Itulah kesilapan terbesar kami.”

 

 

Akibatnya Umno memperdayakan diri sendiri sehinggalah ke hari penentuan, kata Khairy.

“Apa yang berlaku ialah kami hanya memperdayakan diri sendiri; kita menerima tanpa banyak soal dan terbawa-bawa,” katanya.

Muhyiddin dan Shafie digugurkan dari jemaah menteri Najib selepas secara terbuka mengkritik cara beliau mengendalikan skandal 1MDB.

Muhyiddin kemudian mengasaskan PPBM bersama-sama bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad, sementera Shafie mengasaskan Parti Warisan Sabah. PPBM dan Warisan, bersama-sama PKR, DAP dan Amanah, membentuk kerajaan persekutuan baru selepas menawan 113 daripada 222 kerusi Parlimen, dan menawan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Sumber: freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *