KES NAJIB RAZAK: SIDANG MEDIA PEGUAM NEGARA TERGENDALA, BERTUKAR KECOH..INI PUNCANYA DIBATALKAN..

Asakan daripada kira-kira 50 penyokong Datuk Seri Najib Razak di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini menyaksikan Peguam Negara,Tommy Thomas membatalkan sidang medianya.

Sidang media itu diadakan selepas bekas perdana menteri itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM42 juta di mahkamah sesyen dan dibacakan terhadapnya sekali lagi di mahkamah tinggi.

Penyokong Najib mula bersorak ‘bahasa Melayu’ ketika Thomas mula memberi kenyataan kepada wartawan dalam bahasa Inggeris.

Laungan “Hidup Najib” dan “Allahuakhbar” juga bergema.

Thomas, akhirnya memutuskan sidang akhbar yang tidak dijadualkan itu tidak berterusan. Adalah difahamkan bahawa beliau akan berjumpa dengan wartawan di dalam bilik kemudian.

Kakitangan polis akhirnya berjaya memujuk kira-kira 50 penyokong Umno itu supaya meninggalkan kawasan berkenaan.

Antara lain, mereka termasuk Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad, anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan pelakon Ellie Suriaty.

Thomas setelah dilantik sebagai peguam negara awal bulan ini berjanji akan meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaannya.

Beliau berkata dirinya sudah empat dekad menjadi peguam swasta maka kefasihannya dalam bahasa Melayu tidak berada pada tahap sepatutnya.

Ironinya, sebahagian besar sepanduk dan poster yang dibawa oleh penyokong Najib di luar kompleks mahkamah tertera dalam bahasa Cina dan Inggeris.

Sumber: Mkini

Polis beri amaran pada pemimpin Umno Putrajaya

Polis memberi amaran kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz agar tidak membuat sebarang provokasi di kawasan sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini ketika proses perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berlangsung, atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata setakat ini tiada penahanan yang dibuat terhadap Tun Faisal.

“Kami boleh tahan beliau (Tun Faisal) jika beliau mengulangi perbuatan sedemikian (provokasi) tetapi polis memberi amaran terlebih dahulu.

“Seperti yang kita tahu bahawa kawasan mahkamah adalah kawasan larangan dan setiap orang awam yang memasuki kawasan ini perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan mahkamah,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur.

Hari ini, Tun Faisal melakukan provokasi dengan melaungkan ‘Bebaskan Najib’ ketika bekas perdana menteri itu tiba di kompleks mahkamah.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang.

Najib ditahan berkaitan kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Hari ini, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 12.37 tengah hari ini di kompleks berkenaan mendapati puluhan media tempatan dan antarabangsa masih menunggu perkembangan kes Najib di lobi mahkamah itu.

– Bernama via MKini via ohgebang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *