Kes Guan Eng, MP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh juga terkejut dengan SPRM. Ini sebabnya

SPRM tidak boleh mendakwa pihaknya tidak tahu-menahu tentang pengguguran dua pendakwaan rasuah Lim Guan Eng, kata anggota parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Ini kerana pegawai pendakwa SPRM sendiri yang memberitahu mahkamah untuk menarik balik dakwaan terbabit, katanya yang juga peguam kepada Lim.

Ramkarpal berkata beliau ada di mahkamah pagi ini bersama-sama peguam Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon serta pengarah bahagian pendakwaan SPRM Mohd Masri Daud.

“Tiada sebarang tanda tidak puas hati yang ditunjukkan Masri atau pasukannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan SPRM hari ini yang menyatakan suruhanjaya itu “amat terkejut” dengan keputusan Mahkamah Tinggi George Town menggugurkan pendakwaan terhadap Lim dan Phang.

SPRM juga menegaskan keputusan itu dibuat pejabat peguam negara dan bukan pihaknya.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dibebaskan daripada dua dakwaan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah daripada zon tanah kepada zon perumahan dan pembelian sebuah banglo bawah harga pasaran.

Keputusan itu selepas pejabat peguam negara menerima hujah balas daripada peguam mereka.

‘Hak untuk bebaskan Lim, Phang’

Ramkarpal berkata, hakim membuat keputusan yang betul dan konsisten dengan trend mutakhir.

“Hakim yang bijaksana menggunakan kuasa yang ada dengan memerintahkan pembebasan itu dan bukan dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya, sambil menambah hakim tidak membuat kesilapan apatah lagi selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes.

Beliau membangkitkan pembebasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail pada 2015 untuk dua tuduhan pecah amanah, selepas pendakwaan memberitahu mahkamah tidak mahu meneruskan kes itu.

“Dalam kes ini, Lim dan Phang memberikan hujah terperinci dan meluas kepada peguam negara berhubung mengapa dakwaan perlu ditarik balik, yang telah diambil kira sebelum hari ini,” katanya lagi.

Menurut Ramkarpal, kenyataan SPRM menunjukkan Masri tidak tahu akan keputusan pejabat peguam negara itu.

“Tiada apa yang mengejutkan dengan keputusan itu kerana tiada siapa yang patut dibiarkan dengan kemungkinan didakwa pada masa akan datang ekoran perintah dilepaskan tanpa dibebaskan, terutama selepas ada petanda jelas yang pihak pendakwaan mahu menggugurkan pendakwaan.

“Ini adalah persoalan asas dan sangat mengecewakan apabila SPRM gagal memahaminya,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Masri untuk menjelaskan keadaan dan mengakui beliau memang tahu tentang keputusan itu.

SPRM ‘amat terkejut’ mahkamah bebaskan Guan Eng

Image result for Ramkarpal Singh SPRM surat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya “amat terkejut” dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya daripada SPRM,” menurut kenyataan pendeknya sebentar tadi.

Mahkamah hari ini membebaskan Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang, daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membebas dan melepaskan Lim daripada tuduhan itu atas alasan pihak pendakwa menarik balik tuduhan padanya dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Mereka dituduh ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, bawah harga pasaran semasa.

Guan Eng, Phang bebas dari tuduhan rasuah

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membebaskan bekas ketua menteri Lim Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah selepas peguam negara menerima hujah balasan daripada peguam.

Turut dibebaskan ialah seorang ahli perniagaan, Phang Li Koon.

Terdahulu timbalan pendakwa raya Mohd Masri Daud memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan daripada dakwaan tersebut.

Bagaimanapun hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail memutuskan untuk membebas dan melepaskan Lim serta Phang daripada tuduhan berkenaan.

Katanya permohonan tersebut tidak dapat diterima kerana pihak pendakwa sudah menarik balik tuduhan yang dikenakan kepada kedua-dua individu terbabit.

Lim yang kini menjadi menteri kewangan didakwa bersama Phang di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang George Town, menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Kedua-dua mereka menghadapi tuduhan berkenaan ekoran urusan jual beli sebuah banglo di Jalan Pinhorn, George Town, di bawah harga pasaran semasa.

Ia turut menarik perhatian ramai kerana peguam negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertindak sebagai ketua pasukan pendakwaan.

Tak boleh biar begitu saja

Menurut Mohd Masri pihaknya mengkaji hujah yang diberi tertuduh dan bersetuju untuk menggugurkan semua dakwaan.

Bagaimanapun katanya pihak pendakwa meminta mahkamah menimbangkan Lim dan Phang dilepas tetapi tidak dibebaskan mengikut Seksyen 254(3) Kanun Acara Jenayah.

Peguam Lim serta Phang membantah permohonan berkenaan.

Menurut Ramkarpal Singh – yang mewakili Lim – mahkamah tidak wajar terus membiarkan tuduhan itu tergantung begitu saja.

Katanya mahkamah perlu memberi pembebasan penuh kecuali dalam keadaan khusus seperti ketiadaan saksi untuk memberi keterangan.

Peguam Phang V Sithambaram pula menambah Pejabat Peguam Negara sudah mengkaji dan meneliti hujah yang dikemukakan tertuduh dan tidak wajar mereka terus ‘terikat’ dengan dakwaan tersebut kerana ia bermakna mereka boleh dituduh semula pada masa depan.

Hakim kemudian bersetuju dengan hujah Ramkarpal Singh serta Sithambaram. Katanya mahkamah tidak boleh terus menangguhkan kes berkenaan terutama kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Kata Hadhariah setakat ini sudah 25 orang saksi memberi keterangan dan perbicaraan belum diselesaikan sejak ia didengar Mac lalu.

“Kita bukan bergerak perlahan sebaliknya kita menunggu kes ini.

“Sekarang pasukan pendakwa meminta ia ditarik balik, tetapi kita tidak boleh membenarkan anda melakukannya secara beransur-ansur atau tertangguh.

“Mahkamah tidak boleh membiarkan kes ini begini selamanya. Kita perlu meletakkan tanda noktah untuk menutupnya,” kata hakim.

Sumber: Mkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *