Kerajaan akan wujudkan SOP perkahwinan bawah umur

Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Kerajaan akan mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi perkahwinan di bawah umur, kata Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rodziah Ismail.

Beliau berkata perkahwinan di bawah umur 18 tahun tidak lagi akan hanya tertakluk kepada persetujuan mahkamah, ketua menteri atau menteri, tetapi menerusi SOP yang akan memasukkan beberapa prosedur dan ujian yang akan dihadapi pasangan terbabit.

“Kedua-dua lelaki dan wanita mesti menjalani ujian atau pemeriksaan yang merangkumi kesihatan, dan pendidikan untuk membolehkan keluarga itu menjalani kehidupan biasa,” katanya.

Rodziah bercakap kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kementerian ke atas exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam negeri, Chong Eng di sini hari ini.

Rodziah mengulas mengenai perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun  warga  Thailand dengan seorang lelaki tempatan berumur 41 tahun yang tular di media sosial ketika ini.

SOP itu akan disahkan oleh kementerian dalam masa dua minggu lagi, katanya.

Berikutan penularan berita perkahwinan itu, pengguna laman sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat mengkritik tindakan lelaki berkenaan (suami) dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku. – Bernama

Sumber : kosmo

BERITA BERKAITAN

Islam benarkan kahwini kanak-kanak tetapi tidak galakkan – Ahli Majlis Fatwa Perlis

Gambar hiasan

KANGAR – Islam membenarkan perkahwinan lelaki dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi perbuatan itu tidak digalakkan, kata Anggota Majlis Fatwa Negeri Perlis, Prof Madya Datuk Ahmad Jusoh.

Menurutnya perbuatan itu berdasarkan dua peristiwa yang berlaku semasa Nabi Muhammad SAW masih hidup.

Peristiwa pertama, Nabi Muhammad SAW sendiri berkahwin dengan Aisyah Abu Bakar semasa Aisyah baru berusia sembilan tahun dan kedua, Nabi Muhammad sendiri mengahwinkan Salamah dengan puteri bapa saudara baginda Hamzah, Umamah ketika Umamah belum baligh, katanya.

Ahmad berkata, berdasarkan dua peristiwa itu jelas Islam tidak melarang seseorang lelaki berkahwin dengan kanak-kanak perempuan belum baligh tetapi ia tidak menggalakkannya kerana tidak memenuhi hikmah perkahwinan.

“Hikmah perkahwinan untuk memenuhi naluri seks tidak kesampaian jika berkahwin dengan kanak-kanak perempuan kerana hubungan seks tidak dibolehkan sehingga kanak-kanak berkenaan baligh,” katanya kepada Bernama bagi mengulas tindakan seorang peraih getah berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Selatan Thailand pada 18 Jun lepas.

Menurut Ahmad, hikmah perkahwinan untuk mendapatkan zuriat juga tidak kesampaian kerana kanak-kanak yang belum ada haid tidak boleh mengandung.

“Isteri yang masih kecil juga tidak mungkin mampu melaksanakan tanggungjawab termasuk mengurus rumah tangga. Oleh sebab itu Islam tidak menggalakkan umatnya menikahi kanak-kanak perempuan yang belum baligh,” tambahnya. – Bernama

Sumber : Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *