Jangan perlekeh agama saya, amaran Najib kepada Kit Siang

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan serangan harian Lim Kit Siang ke atasnya dan memberi amaran kepada penasihat DAP itu terhadap tindakannya mengaitkan Islam kepada kleptokrasi, istilah yang sering digunakan Pakatan Harapan untuk menyifatkan kerajaan lama.

“Saya tidak faham obsesi Lim Kit Siang terhadap saya sehingga beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang saya secara peribadi, walaupun saya bukan lagi perdana menteri atau presiden Umno dan BN,” tulisnya di Facebook merujuk kenyataan Lim hari ini menggesa pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis menolak Umno.

Lim yang mendakwa Najib dengan “menyamakan Islam kepada kleptokrasi” berkata penipuan, kebencian, ketakutan, politik kaum dan agama yang tidak bertanggungjawab, ganas serta beracun” bekas pemimpin negara itu gagal dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), baru-baru ini.

“Umno hilang kedudukannya yang tidak dicabar sebagai parti politik dengan sokongan majoriti pengundi Melayu dalam PRU14 kerana ada pengundi Melayu mencukupi yang bijak untuk melihat pembohongan dalam propaganda itu, dan menolak penipuan, kebencian, ketakutan serta politik perkauman, agama yang ganas dan toksik Najib.

“Mereka tidak mahu, khususnya, untuk menyamakan Melayu dan Islam dengan kleptokrasi.”

Tetapi, Najib berkata, Lim melampaui batas kerana mencadangkan kemenangan BN di Sungai Kandis dengan menyamakan Islam dengan kleptokrasi.

“Saya tidak akan dapat menghentikan obsesinya terhadap saya, namun Kit Siang tidak patut memperlekeh agama saya dan dijadikan bahan kempen politik,” kata bekas perdana menteri itu.

Sumber: freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *