Jamal ugut pecahkan kepala Zaid dengan tukul

KUALA LUMPUR: Selepas membakar keratan gambar Datuk Zaid Ibrahim, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini tampil dengan tukul dan mengugut akan memecahkan kepala bekas menteri itu, esok.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu memberi amaran berkenaan kerana berang dengan pihak berkuasa yang belum mengambil tindakan terhadap Zaid.

“Kami sudah bakar gambar Zaid, tetapi sehingga hari ini kami hairan mana pihak polis yang berada dalam negara kita.

“Kalau saya keluarkan perkataan seperti Zaid, sudah pasti satu malam saya duduk dalam lokap.

“Kalau tidak ada tindakan lagi, esok tukul seberat 5kg ini akan singgah ke kepala dia (Zaid),” katanya sambil memegang tukul dan membawa keratan gambar Zaid di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Rabu lalu, Jamal membakar keratan gambar Zaid susulan kenyataan bekas menteri undang-undang itu yang didakwanya mengguris hati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta rakyat negeri itu.

Jamal membakar “Zaid” yang tertera perkataan “pengkhianat, kurang ajar, biadab” di luar PWTC dengan disaksikan lebih 20 ahli Umno.

Selasa lalu, Zaid menegur Sultan Selangor supaya berhati-hati dengan kata-katanya kerana semua akan terkesan apabila negara terbakar.

Zaid mengulas laporan media “Selangor ruler: Dr M will burn the whole country with his anger”.

Semalam, Sultan Selangor dilaporkan mendakwa kenyataannya mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja dijadikan bahan politik.

“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar-besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” kata Sultan Sharafuddin dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Jamal mendesak polis mengambil tindakan terhadap Zaid yang didakwanya bertindak melampau dan mengguris hati rakyat Selangor.

Katanya, beliau lebih rela mati untuk mempertahankan Sultan Selangor daripada dicaci dan dimaki pihak tertentu.

“Hati kami rakyat negeri Selangor sudah terguris, tindakan dan hukuman yang perlu diambil bukan maaf.

“Saya rela mati demi Sultan Selangor, nyawa kami pertaruhkan demi Sultan Selangor.”

Pemimpin Gerakan Baju Merah itu turut mempersoalkan tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan exco negeri mendiamkan diri.

“Di mana Azmin Ali yang sepatutnya pertahankan Sultan Selangor, tetapi senyap sunyi.

“Di mana exco Selangor yang memerintah Selangor yang sepatutnya pertahankan Sultan Selangor. Jangan nak main politik.”

Balik ke Kelantan, Sultan Selangor beritahu Zaid

Sumber: freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *