“ITU DUIT KAMI !” – UMNO minta polis kembalikan wang dirampas

KUALA LUMPUR: UMNO meminta polis memulangkan baki sumbangan kempen dan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dirampas pihak berkuasa terbabit.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO, dana itu amat diperlukan dalam proses UMNO membina semula parti.

“Adalah dukacita dimaklumkan bahawa baki sumbangan kempen dan dana parti dirampas oleh pihak polis semasa dalam proses ia dipindahkan kepada kepemimpinan baru UMNO selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Pembiayaan politik dibenarkan di bawah undang-undang kita. Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana serta mengembalikannya kepada parti selepas selesai proses dan penyelidikan oleh pihak berkuasa yang relevan,” menurut kenyataan unit itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, secara umum Presiden UMNO bertanggungjawab mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk parti, termasuk dana bagi pilihan raya umum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

“Hal ini tidak berbeza dengan mantan Presiden kita iaitu Datuk Seri Najib Razak yang mendapatkan sumbangan kempen sebelum PRU-14 dan menguruskan dana parti kita.

“Semasa mantan Presiden Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Presiden, beliau juga menyerahkan RM1.2 billion kepada parti dan tiga juta ahli,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis berhubung keselamatan diri dan keluarganya.

Dalam laporan itu, beliau turut mendakwa wang tunai yang dirampas dalam beberapa serbuan termasuk di kediaman peribadinya di ibu negara adalah wang sumbangan untuk kegunaan kempen pilihan raya.

Sumber: bhplus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *