Berang disindir menganggur, suami tukul kepala isteri sampai mati

Berang selalu diperli dan didesak menceraikan isteri, seorang lelaki hilang kesabaran lalu memukul kepala isterinya dengan tukul besi beberapa kali sehingga hilang nyawa.

Suspek, Saadi Muksin, 47, yang tidak bekerja ditahan pihak polis kerana disyaki membunuh isterinya, Lely Lismayati, 39, di rumah mereka di Bekasi Utara, dalam kejadian Khamis lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Metro Bekasi Kota Wijdonaro berkata, pasangan berkenaan selalu bertengkar kerana Saadi malas mencari kerja dan suspek juga mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain selepas wanita itu kerap mendesak dia menceraikannya.

Difahamkan, pasangan berkenaan telah berkahwin selama 17 tahun dan mempunyai dua cahaya mata. Malangnya dalam tempoh itu, Saadi tidak pernah bekerja menyebabkan Lely terpaksa bekerja di sebuah kilang tayar untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Suspek tersinggung kerana mangsa sering menyindirnya yang tidak mempunyai pekerjaan.

“Kebelakangan ini, pasangan berkenaan dilaporkan semakin kerap bertengkar. Namun kali ini suspek hilang kesabaran selepas mangsa meminta wang dan menariknya menyebabkan mereka terjatuh.

“Berang dengan tindakan mangsa, suspek terus mengambil tukul besi di lantai dan memukul kepala mangsa beberapa kali sehingga mati.

“Jiran yang mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan segera menghubungi pihak polis. Malangnya mangsa telah mati dalam keadaan berlumuran darah ketika polis tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Suspek terus melarikan diri selepas kejadian itu. Beberapa jam selepas itu, suspek tampil ke balai polis untuk menyerah diri.

 

Dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bekasi kelmarin, Saadi mengaku dia menyesal dengan perbuatannya selain terkenang nasib dua anaknya yang masih bersekolah.

“Menyesal pak. Saya khilaf, emosi. Saya terfikir mengenai nasib dua anak saya,” katanya.

Suspek akan didakwa mengikut akta keganasan dalam rumah tangga dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama 15 tahun.

Sumber: Harian Metro, Merdeka.com, Tempo.co

seterusnya artikel,

Wanita maut, selepas tersadung dan leher tersangkut di celah besi pagar

Seorang wanita muda maut selepas lehernya tersangkut di pagar besi penghadang pejalan kaki selepas kakinya tersadung pada beg yang dibawanya sendiri dalam kejadian di China, lapor Daily Mail.

Wajah mangsa bertukar kebiruan dan lemas selepas lehernya terperangkap di celah pagar tersebut.

Insiden itu menyebabkan netizen di media sosial kesal pihak berkenaan tidak mengambil tindakan untuk menambah baik pagar tersebut biarpun pernah berlaku beberapa kes yang melibatkan pagar tersebut.

Lapor Chutian Metropolitan Daily, kaki mangsa tersadung pada beg beroda yang dibawanya ketika turun dari bas di Huangpu di bandar Hankou, wilayah Hubei dalam kejadian pada 27 Februari lalu.

Gambar menunjukkan leher mangsa tersangkut pada celah pagar besi berkenaan di belakang pondok bas.

Orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi pihak berkuasa. Selepas 16 minit kemudian, pihak polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Pasukan perubatan berjaya mengeluarkan leher mangsa yang tersangkut selepas anggota polis memotong besi pagar tersebut.

Difahamkan, reka bentuk pagar berbentuk U yang setinggi 3.3 kaki itu banyak dipasang di laluan pejalan kaki di negara itu.

Netizen mendakwa kejadian seumpama itu seringkali berlaku dan menyalahkan kerajaan yang tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengubahsuai reka bentuk pagar tersebut.

Pada Mac 2016, seorang wanita hamil dilaporkan meninggal dunia selepas lehernya tersangkut pada pagar yang sama di Huangpu. Manakala seorang pesara juga dilaporkan meninggal dunia selepas kepalanya tersangkut pada pagar berkenaan di Beijing pada tahun 2015.

Sumber: thereporter

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *