Bimbang Penduduk Disitu Apabila Seorang Lelaki Memandu Sambil Memegang sebilah PARANG. Selepas Ditahan Polis Ini Rupanya Sebab Sebenar

Lahad Datu: Tindakan seorang lelaki memegang parang sambil memandu di kawasan Perdana, dekat sini, semalam, mengundang kebimbangan penduduk setempat selepas perbuatannya itu dirakam dan ditularkan di laman sosial.

Bagaimanapun, lelaki berusia 40-an itu menjelaskan kepada pihak polis bahawa dia sebenarnya baru saja selesai mengambil pelepah kelapa dan gotong royong untuk majlis perkahwinan adiknya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, bertindak atas maklumat orang awam pihaknya berjaya mengesan lelaki terbabit untuk diambil keterangan pada jam 8 malam, semalam.

“Hasil siasatan mendapati, dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, lelaki terbabit baru saja selesai mengambil pelepah kelapa dan gotong royong untuk majlis perkahwinan adiknya.

“Ketika kejadian, dia baru saja masuk ke dalam kereta dan terus memulakan perjalanan. Sebelum sempat memasukkan tangan ke dalam kereta, ada pihak yang telah mengambil gambarnya sedang memegang parang dan diviralkan di Facebook,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Nasri berkata, selepas mendengar penjelasan lelaki itu, pihaknya menasihatkannya supaya tidak mengulangi perbuatan itu kerana ia mengundang kebimbangan kepada masyarakat setempat.

“Pemandu dinasihatkan mengenai kesan dan akibat yang berlaku disebabkan perbuatannya itu.

“Pemandu telah memohon maaf kepada semua pihak dan berjanji tidak mengulanginya lagi,” katanya.

Nasri berkata, isu itu sudah selesai dan meminta masyarakat terutamanya netizen supaya berhenti menyebarkan perkara itu bagi mengelak kerisauan di kalangan penduduk setempat.

Sumber Artikel : HMETRO ONLINE

Kenyataan dari IPD Lahad Datu Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *