‘Apa kaitan duit raya anak saya dengan 1MDB?’ – Selepas Membayar Ikat Jamin Untuk Ayahnya, Seluruh Akaun Miliknya Dibekukan, Termasuk….

Anak bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa mendakwa bahawa akaun bank peribadinya telah dibekukan selepas beliau membayar wang ikat jamin bapanya, semalam.

“Sebaik selepas saya membayar wang jaminan untuk ayah saya semalam dengan wang yang dikumpulkan daripada rakan dan saudara mara, bank saya berkata mereka mendapat arahan untuk membekukan akaun peribadi yang saya gunakan untuk membayar yuran sekolah sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook dalam bahasa Inggeris, hari ini.

Nooryana mendakwa bahawa akaun bank anak lelakinya yang berusia 10 bulan juga dibekukan. “(Ia adalah) duit ‘raya’ pertamanya tahun ini,” katanya.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa akaun bank peribadi seorang lagi anak Najib, Norashman juga dibekukan hari ini. Sementara itu, Nooryana mempersoalkan sama ada kerajaan Pakatan Harapan begitu berdendam dan berusaha untuk “menghapuskan” seluruh keluarganya.

“Apa kaitan duit raya saya dengan 1MDB? Adakah ini Malaysia baru yang kita doakan itu?” tambahnya. Najib ditangkap pada malam Selasa lalu oleh SPRM dan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Rabu dan dikenakan tiga tuduhan jenayah pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhanan menyalahgunakan kuasa.

Bekas perdana menteri itu memohon untuk dibicarakan terhadap semua empat tuduhan yang berkaitan dengan isu SRC International. Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dan Najib dibenarkan pulang selepas anggota keluarganya berjaya membayar separuh daripada jumlah itu.

Sumber daripada Malaysiakini

Sebelum itu,

Anak Najib bayar ikat jamin

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini dibebaskan selepas dijamin oleh dua anaknya yang membayar sebahagian daripada jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.

Jaminan itu dibayar oleh Mohd Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib di sebuah bank di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, kedua-dua anak Najib itu enggan ditemubual oleh media sejurus mereka keluar dari bank berkenaan.

Semalam, Najib ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2.35 petang.

Hari ini, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM 42 juta.

Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan sekali lagi terhadapnya selepas pertama kali disebut di Mahkamah Sesyen pagi tadi.

Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta dikenakan terhadap Najib dengan dua orang penjamin serta beliau perlu menyerahkan pasport diplomatik dan pasport awam.

Selain itu mahkamah juga membenarkan bahawa bayaran itu dibuat secara ansuran iaitu dibayar hari ini dan pada Isnin depan.

Bekas perdana menteri itu kemudian meninggalkan perkarangan kompleks mahkamah dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih pada kira-kira jam 3.30 petang.

Sumber daripada MalaysiaKini via empiremedianetwork.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *