‘Anak ‘pergi’ pada hari lahir saya’

“SAYA terus bergegas pulang ke Pulau Pinang sebaik menerima panggilan telefon daripada suami yang menyatakan anak kedua kami sudah tiada buat selamanya,” kata Datin Roziah Hashim, ibu kepada Ameer Hakimi Azman, 20, pelajar Malaysia yang maut akibat kemalangan jalan raya di Pekanbaru, Riau, Indonesia, petang semalam.

Roziah, 49, berkata, beliau ketika itu baru sampai di Kota Kinabalu untuk menghadiri kursus bersama rakan guru yang lain, namun terpaksa menangguhkan urusan berkenaan dan segera pulang ke rumahnya di Permatang Rambai, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, malam tadi bagi urusan pengebumian anaknya.

Isteri kepada bekas Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Dr Azman Abdul Samat itu berkata, beliau sedih mengenangkan kejadian menimpa anak lelakinya itu apatah lagi Ameer Hakimi meninggal dunia pada tarikh hari kelahirannya.

“Semalam adalah hari lahir saya yang ke-49 dan pada hari itu juga saya terpaksa menerima berita duka ini, namun sebagai seorang ibu, saya reda dengan pemergiannya walaupun pada hakikatnya susah untuk percaya tetapi ini adalah takdir yang perlu dilalui kami sekeluarga.

“Ameer sepatutnya pulang ke tanah air pada Disember lalu, tetapi pusat pengajiannya menukar jadual pembelajaran dengan mempercepatkan kuliah dan peperiksaan supaya dia dapat tamat semester kedua lebih awal dan menyambut bulan Ramadan bersama keluarga, namun ia tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, kali terakhir beliau mendapat khabar mengenai anak kedua daripada enam beradik itu adalah melalui suaminya yang baru saja pulang melawat anaknya, Jumaat lalu.

“Ameer ini seorang yang manja dan dia kerap menghubungi saya dan bapanya menggunakan WhatsApp hingga suami mengambil keputusan untuk pergi melawat Ameer selama tiga hari dan pulang pada hari Jumaat.

“Saya pula tidak dapat ikut kerana tugasan mengajar dan suamilah yang menceritakan segala-galanya tentang perkembangan Ameer di sana, namun terkejut baru sahaja dua hari pulang dari melawat anak, semalam terus mendapat berita yang tidak diduga ini,” katanya.

Ameer Hakimi adalah penuntut Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim Pekanbaru, Riau, Sumatera dalam jurusan dakwah dan kaunseling Islam.

Dalam kejadian 3.30 petang waktu tempatan, Ameer Hakimi bersama rakannya, Mohd Shaiful Bukhari Ammat , 25, maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlanggar lori yang berhenti di tengah jalan.

Ameer Hakimi dan rakannya itu mengalami kecederaan dalaman dan dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada 5.35 petang.

Difahamkan, jenazahnya akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Pasir secepat mungkin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *