Amaran Ulat Bulu Man buat perompak [METROTV]

PENYANYI lelaki yang dikenali sebagai Ulat Bulu Man (UBM) menafikan mencari populariti mudah dikalangan peminat apabila mengenakan kostum ini ketika menyanyi.

Sebaliknya, pemuda berusia 23 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Hank ini mengakui pengalaman menyaksikan kejadian ragut di depan mata, mendorong dirinya untuk tampil dengan imej begini.

“Ketika berusia 17 tahun, saya melihat sendiri kes ragut membabitkan seorang wanita warga emas yang dilakukan oleh seorang lelaki.

“Mulanya saya bercadang untuk membantu tetapi terpaksa membatalkan hasrat itu kerana peragut adalah rakan sendiri yang memang dikenali sebagai ‘taiko.’

“Saya berfikir panjang kerana bimbang dia akan berdendam terhadap keluarga saya selepas itu. Kalaulah saya pakai kostum tertentu, mungkin saya boleh menyelamatkan wanita itu,” katanya.

Ulat Bulu Man kini tampil dengan single pertama berjudul Puisi Buat Perompak hasil ciptaan penyanyi dan komposer Oja.

Dia berkata, lagu ini membawa mesej dan amaran terhadap peragut dan perompak yang sering mencetuskan masalah dalam komuniti masyarakat.

“Asalnya judul single genre rock ini ialah Puisi Buat Peragut, tetapi saya dan Oja merasakan ia kurang sesuai dan menukarnya kepada Puisi Buat Perompak kerana pengertiannya lebih meluas.

“Lagu ini jadi bukti tanggungjawab sosial saya sebagai anggota masyarakat untuk menyampaikan mesej kepada umum dengan cara sendiri. Kini saya mengetengahkan kempen RagutBusters sebagai kempen anti ragut yang lahir dari hati nurani saya,” katanya.

Anak kepada seorang anggota polis ini turut mengakui kecenderungan dan angan-angannya untuk beraksi setangkas adiwira sudah tertanam sejak kecil lagi akibat pengaruh dari pelbagai rancangan adiwira.

“Minat ini terbawa-bawa sehingga saya meningkat dewasa. Malah sebelum ini saya dapat tumpuan di laman sosial apabila berpakaian Spiderman ketika membayar zakat, membantu mangsa banjir dan melakukan banyak perkara lagi.

“Saya juga pernah menyanyi di pelbagai karnival dengan menggayakan pelbagai kostum adiwira dan ia menjadi nilai tambah kerana dapat menarik perhatian peminat,” katanya yang juga pengusaha pusat karaoke di negeri di Pantai Timur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *