2 kereta peronda polis remuk dilanggar semasa di federal highway

PETALING JAYA: Dua kereta peronda polis remuk selepas dilanggar sebuah lori ketika membuat kawalan lalu lintas kemalangan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, kemalangan berkenaan turut membabitkan empat lagi kenderaan lain selain dua kereta peronda terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika anggota polis yang menaiki dua kereta peronda berkenaan sedang membuat kawalan lalu lintas kemalangan membabitkan tiga kenderaan di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota polis bertugas memasang kon dan lampu biru sebelum sebuah lori dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Subang Jaya datang dari arah belakang melanggar sebuah kereta peronda menyebabkan kenderaan itu berpusing lalu melanggar sebuah lagi kereta peronda polis dan sebuah kereta Proton Satria.

“Kereta peronda polis berkenaan terseret dan melanggar sebuah lori yang sedang menunda pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang terbabit dalam kemalangan sebelum itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zani berkata, tiada mangsa yang cedera dalam kemalangan itu.

“Kami sudah mengambil keterangan pemandu semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu.

“Malah, pemandu lori berusia 26 tahun yang melanggar kereta peronda polis itu turut diarahkan melakukan ujian awal saringan air kencing. Hasil ujian dilakukan didapati negatif dadah,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *